mutakhir

Acara perarakan Hari Kebangsaan 2022 jadi tumpuan [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini diraikan dalam skala besar dan disambut meriah di Dataran Merdeka oleh Keluarga Malaysia yang menunjukkan semangat perpaduan serta cintakan negara.

Dengan tema 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama', pelbagai unsur unik ditonjolkan dalam acara perbarisan sambutan terbabit.

Buat julung kalinya, orang ramai menyaksikan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menaiki kereta berkuda Diraja ke Dataran Merdeka.

Sambutan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa; barisan Menteri Kabinet; pegawai kanan kerajaan serta pemimpin parti politik.

Antara yang menarik perhatian ramai dalam sambutan kali ini adalah perarakan 30 kenderaan klasik bersama karyawan seni dan 65 motosikal berkuasa tinggi daripada Persatuan Motosikal Berkuasa Tinggi Malaysia.

Segmen perarakan diteruskan dengan lintasan kontinjen membabitkan komuniti besar Keluarga Malaysia seperti Orang Asli, cef, selebriti, wira wirawati negara yang memenangi pingat di temasya suka antarabangsa serta petugas barisan hadapan menangani pandemik Covid-19.

Perarakan masuk barisan pelakon Mat Kilau menerima sorakan gemuruh daripada orang ramai yang meminati filem terbaharu kebangkitan pahlawan itu.

Seramai lebih 20,000 peserta, 369 aset darat dan 68 aset udara dari pelbagai pihak serta 76 haiwan terbabit dalam acara perbarisan dan perarakan pada sambutan kali ini.

Disiarkan pada: August 31, 2022 @ 1:46pm
d