mutakhir

Tuanku Muhriz saksi perbarisan Hari Kebangsaan di Negeri Sembilan

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, berangkat mencemar duli pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Sebanyak 81 kontinjen merangkumi 5,000 peserta menyertai perbarisan sambutan berkenaan yang berlangsung di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini.

Perbarisan terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah dan institut pengajian tinggi serta syarikat swasta.

Istiadat kawalan kehormatan utama (KKU) terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota dari Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diketuai oleh Mejar Muhammad Asyraf Nazarudin manakala Pegawai Panji-Panji ialah Leftenan Mohd Amir Suhaimi dan Sarjan Mejar Rejimen ialah Pegawai Waran 1, Zazulamin Zulkifli.

Istiadat KKU diiringi oleh Pancaragam Gabungan Pusat Latihan Tentera Darat (PUSASDA) dan Batalion Ke-24 RAMD yang dipimpin oleh Sarjan Azuan Zakaria.

Perarakan turut membabitkan aset artileri Tentera Darat Malaysia (TDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengetuai bacaan ikrar Rukun Negara manakala doa dibacakan oleh Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad.

Aminuddin ketika ditemui media berkata, pihaknya berpuas hati dengan lebih 10,000 orang yang hadir

menyaksikan persembahan dan perarakan sempena sambutan itu.

"Tahun ini kita melakukan penambahbaikan dan kehadiran orang ramai pada awal pagi menunjukkan semangat patriotisme yang tinggi kalangan rakyat.

"Kerajaan negeri berharap sambutan ini dapat dijadikan aspirasi untuk kita semua bersatu padu dan mempertahankan kedaulatan negara," katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2022 @ 3:37pm
d