mutakhir

Rosmah beredar dari Kompleks Mahkamah

Oleh Murni Wan Omar dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Datin Seri Rosmah Mansor dilihat beredar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas didapati bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini terhadap tiga tuduhan rasuah berhubung projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.

Rosmah, 70, yang juga isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memakai baju kurung dan berselendang kuning beredar pada 4.51 petang dengan menaiki kereta hitam.

Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM970 juta terhadap Datin Seri Rosmah Mansor.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.

Beliau menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Rosmah bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Jika Rosmah gagal membayar denda berkenaan, beliau berhadapan hukuman penjara tambahan 30 tahun.

Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman hingga rayuan selesai.

Ini adalah denda tertinggi pernah dikenakan terhadap mana-mana pesalah mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berita berkaitan:

Disiarkan pada: September 1, 2022 @ 5:13pm
d