mutakhir

Jakim hantar pasukan audit halal ke Australia

Oleh BERNAMA

Taiping: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menghantar pasukan ke Australia bulan ini bagi melakukan pengesahan audit halal di loji sembelihan Thomas Foods Industries (TFI) yang membekalkan daging ke Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata ia susulan pengesahan oleh Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) bahawa berlaku pelanggaran protokol halal dalam proses penyembelihan.

"Kita tidak boleh senyap berkaitan bab halal dan haram ini. Tidak munasabah bagi pihak Jakim untuk tidak bertindak kerana piawaian bagi mendapatkan pengesahan halal adalah ketat dan dipandang tinggi oleh orang ramai. Pada September ini, pasukan audit dari Jakim akan ke sana bagi menjalankan tindakan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 136 mangsa banjir di sekitar Taiping antaranya Taman Seri Kota Fasa Dua, Kampung Sempadan, Kampung Air Kuning dan Taman Kuning Sari di sini hari ini.

Pada 13 Mei lepas, kelulusan penyembelihan yang diberikan kepada syarikat yang diiktiraf halal oleh Malaysia di Australia, Thomas Foods International Lobethal digantung serta-merta sehingga suatu hasil siasatan menyeluruh diperoleh.

Dilapor ia susulan status halal rumah penyembelihan itu yang diragui apabila prosedur didakwa tidak mengikut syariat Islam berdasarkan bukti rakaman video dan gambar menunjukkan haiwan-haiwan dilemaskan dalam takungan darah binatang yang disembelih terdahulu dan haiwan itu mati akibat lemas bukannya kerana disembelih.

Sementara itu, Idris berkata isu seorang wanita yang didakwa mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram lengkap seperti lelaki akan diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama negeri.

"Seperti yang kita tahu, wanita tersebut telah pulang dari mengerjakan umrah namun kami masih belum mendapatkan maklumat bagi mengesannya. Pejabat agama di negeri wanita tersebut tinggal akan memanggilnya apabila kami dapat maklumat," katanya.

Dilapor pada 12 Ogos, tular menerusi media sosial mengenai wanita berkenaan berada di Tanah Suci Makkah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki dan difahamkan wanita itu ke Tanah Suci dengan menggunakan visa pelancong dan bukan menerusi khidmat agensi umrah.

Mengulas mengenai isu bantahan penganjuran konsert artis antarabangsa di negara ini, Idris berkata setiap perkara perlu ada batasan dan mengikut panduan yang sebenar.

"Islam tidak antihiburan dan sosial tetapi perlu ada hadnya. Sepertimana Islam tidak anti orang makan dan minum namun pasti ada batasan. Apa yang boleh makan, apa yang tidak boleh.

"Jangan kita anggap semua benda perlu ada kebebasan. Kalau begitu tidak perlu ada undang-undang. Kalau mahu bercakap tentang 'freedom' (kebebasan), cakap tentang semua bab, jangan sesetengah perkara tidak mahu ikut pula," katanya.

Semalam, hanya wakil Jakim sahaja yang dilaporkan membantah penganjuran konsert artis barat dalam sesi mesyuarat bersama pelbagai agensi baru-baru ini manakala 15 lagi agensi menyokong penganjuran diteruskan.

Disiarkan pada: September 1, 2022 @ 8:38pm
d