mutakhir

Jualan akhbar dapat sambutan [METROTV]

Oleh Lizam Ridzuan

Kuala Lumpur: Promosi jualan akhbar kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) yang diadakan di Pasar Keramat di sini hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Pengurus Besar Jabatan Pengedaran Akhbar NSTP, M Prakash berkata, menerusi pembelian set kombo akhbar (New Straits Times, Berita Harian atau Harian Metro) pada harga RM4 pembeli mendapat hadiah percuma iaitu syampu Himalaya 200 mililiter (ml) bernilai RM19.

Menurutnya, aktiviti jualan itu bermula seawal jam 7 pagi dengan menyasarkan jualan 3,000 naskhah akhbar berkenaan.

"Aktiviti sebegini kerap dianjurkan bagi mendekatkan lagi hubungan antara NSTP dengan pembaca serta sebagai penghargaan kepada mereka.

"Lokasi di Pasar Datuk Keramat ini adalah salah satu tempat yang mendapat permintaan tinggi untuk akhbar dan akan diteruskan ke lokasi lain seperti Kota Damansara dan Shah Alam pada masa akan datang," katanya.

Selain untuk tujuan jualan, promosi itu juga bagi meningkatkan minat budaya membaca akhbar dalam kalangan masyarakat.

Pembaca setia akhbar Harian Metro, Mohd Rosdi Abd Razak, 60, berkata, promosi jualan akhbar itu boleh memupuk budaya membaca dalam kalangan generasi muda.

"Promosi seperti ini boleh menggalakkan budaya membaca dalam kalangan generasi muda dan orang ramai selain melayari bahan berita menerusi secara atas talian, akhbar juga sumber rujukan untuk berita terkini dan tepat," katanya.

Seorang lagi pelanggan setia akhbar Harian Metro selama 30 tahun, Rahmah Majid, 61, pula berkata, setiap hari dia melanggan dua naskhah akhbar berkenaan untuk keluarganya.

"Saya akan memesan di kedai menjual akhbar di Pasar Keramat ini untuk menyimpan dua naskhah setiap hari dan saya menggemari membaca akhbar Harian Metro kerana kisah dan berita dipaparkan berbeza.

"Bagi saya akhbar masih lagi relevan untuk saya yang tidak begitu mahir dalam dunia teknologi maklumat dan telefon pintar yang saya gunakan lebih untuk menguruskan perniagaan," katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2022 @ 3:04pm
d