mutakhir

Beri peranti secara terus kepada penerima PerantiSiswa [METROTV]

Oleh Ilah Hafiz Aziz

Shah Alam: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan, kerajaan bersetuju untuk memberikan peranti berjenama terkenal secara terus kepada semua penerima Inisiatif PerantiSiswa.

Beliau berkata, pemberian peranti ini adalah sebagai penghargaan dan diharap menjadi pemangkin bagi penerima PerantiSiswa untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan yang cemerlang.

"Umum mengetahui bahawa Inisiatif PerantiSiswa ini diberikan secara Konsep Guna Pakai (KGP) di mana mahasiswa perlu serahkan semula peranti setelah tamat pengajian.

"Namun atas maklum balas yang memberangsangkan semasa sesi pertemuan antara Menteri Komunikasi dan Multimedia bersama wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pada 15 Ogos lalu, terdapat cadangan supaya PerantiSiswa ini diberikan secara terus kepada mahasiswa yang mendapat keputusan cemerlang

"Jadi pelajar tak perlu pinjam, tak perlu pulang balik tetapi kerajaan akan bagi terus," katanya pada Majlis Pelancaran Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.

Ismail Sabri berkata, bagi memastikan proses pengajian para pelajar B40 terus terpelihara, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM450 juta menerusi Bajet 2022 bagi melaksanakan Insiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia.

"Majoriti pelajar yang menggunakan teknologi dalam urusan pembelajaran harian, menerima kesan positif dalam pembelajaran dan dapat menambah ilmu pengetahuan tanpa sempadan. Namun begitu, terdapat pelajar yang kurang berkemampuan, ada kalanya perlu meminjam peranti rakan atau terpaksa pergi ke pusat Internet di bandar semata-mata untuk menghadiri kelas dalam talian mahupun membuat tugasan pengajian.

"Menerusi inisiatif ini, pelajar B40 akan menerima sebuah peranti berbentuk tablet, yang boleh dimanfaatkan sepanjang proses pembelajaran sehinggalah mereka menamatkan pengajian nanti," katanya.

Pada program itu, Ismail Sabri juga berkata, kerajaan turut bersetuju untuk memanjangkan tempoh pendaftaran Pakej Remaja Keluarga Malaysia, bagi memastikan lebih ramai golongan pelajar dan remaja memperoleh akses internet untuk pembelajaran talian dari rumah tanpa kekangan data.

"Pada asalnya, pakej prabayar mampu milik khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah ini, diperkenalkan bermula bulan Oktober 2021 dijadual akan tamat pada bulan Oktober tahun ini.

"Keputusan pemanjangan tempoh ini diharapkan memberi peluang kepada lebih ramai remaja dan pelajar untuk melanggan Pakej Remaja Keluarga Malaysia yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan mudah alih.

Pada program itu, beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan akan akan meluaskan lagi penganjuran Program Jualan Keluarga Malaysia ke kampus-kampus pengajian tinggi untuk memastikan kebajikan mahasiswa terpelihara.

"Penganjuran Program Jualan Keluarga Malaysia di kampus dapat mengurangkan beban mahasiswa terhadap tekanan harga barangan yang tinggi.

"Diharapkan juga dengan inisiatif-inisiatif daripada pihak kerajaan ini, kita sebagai Keluarga Malaysia akan terus teguh bersama serta mengetepikan perbezaan dan meraikan kebersamaan sebagai sebuah keluarga besar Malaysia.

Disiarkan pada: September 3, 2022 @ 4:51pm
d