mutakhir

Nurul Izzah beri bayangan mahu kekal di Permatang Pauh [METROTV]

Oleh Aizat Sharif

Kangar: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar memberi bayangan mahu kekal bertanding di Parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Perlis, Kedah dan Pulau Pinang itu berkata, beliau secara peribadi mahu meneruskan khidmatnya kepada rakyat di kerusi Parlimen Permatang Pauh yang dimenanginya pada PRU-14.

"Kalau ikutkan hati Permatang Pauh tetap di hati tetapi saya menghormati apa jua keputusan pimpinan atasan PKR dan kita kena faham sebagai prinsip kita kena ambil apa jua keputusan yang dikeluarkan oleh pimpinan.

"Kita semua adalah 'askar' jadi mesti akur dengan sesetengah keputusan yang dibuat dan jika saya sendiri mengatakan sedemikian tetapi saya tidak akur akan jadi masalah tetapi saya harus menjadi tauladan kepada lain dan Insya-Allah harapnya saya tidak digugurkanlah," katanya selepas merasmikan Pejabat Ayuh Malaysia Negeri Perlis, di sini semalam

Nurul Izzah turut ditanya berhubung desas-desus mengenai bekas Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga penyandang kerusi Parlimen Pandan yang dikatakan tidak akan bertanding di kerusi berkenaan demi memberi laluan kepada Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

"Kita tidak putuskan lagi dan saya pasti ada desakan ramai juga supaya beliau terus bersama lebih-lebih lagi dalam PRU akan datang kerana peranan dan susuk tubuh yang istimewa sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri dan sentiasa membawa kepada agenda bagi pemerkasaan wanita secara keseluruhannya.

"Tentunya kerusi ada 222 jadi kita doakanlah, namun saya pun tak pasti beliau akan bertanding di mana jadi dalam hal ini kami ambil konteks sebagai seorang askar, kami mengikut arahan parti walau dalam hati itu adalah kerusi yang kita dah biasa tapi kita harus akur arahan pimpinan atasan," katanya.

Terdahulu, Nurul Izzah bersama Timbalan Pengerusi MPN Negeri Perlis, Noor Amin Ahmad yang juga Ahli Parlimen Kangar menghadiri perasmian pejabat Ayuh Malaysia Negeri Perlis di Jalan Indera Kayangan, Kangar.

Disiarkan pada: September 4, 2022 @ 11:45am
d