mutakhir

Keputusan pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup diumumkan Rabu ini [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Malaysia masih belum bersedia untuk beralih ke fasa endemik Covid-19 walaupun banyak kelonggaran sudah diberikan dalam aktiviti seharian.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, beberapa indikator yang perlu diberi perhatian dan diperhalusi sebelum keputusan memasuki fasa endemik dibuat kerajaan.

Menurutnya, Covid-19 masih dikategori sebagai kecemasan kesihatan global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan keputusan itu masih kekal sehingga kini.

Selain itu, katanya, Akta 342 sudah dilanjutkan dan masih dikuatkuasa di seluruh negara sehingga akhir Disember depan.

"Undang-undang ini (Akta 342) masih lagi terpakai di kawasan jangkitan dan kerajaan perlu berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan untuk beralih ke fasa endemik.

"Saya juga akan membuat penilaian lanjut sama ada untuk memendek atau memanjangkan penguatkuasaan akta berkenaan," katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022 di Dataran Projek Perumahan Rakyat Seri Alam 2, di sini, hari ini.

Menurutnya, maklum balas daripada pakar penyakit berjangkit juga akan diambil kira memandangkan sifat Covid-19 yang menukar dengan cepat.

Katanya, ini kerana Covid-19 berbeza dengan beberapa penyakit berjangkit lain dan indikator penilaian juga berbeza.

"Apabila kita umum penyakit lain memasuki fasa endemik tetapi Covid-19 tidak sama kerana kadar jangkitan yang berbeza kerana tidak tahu sekiranya akan ada varian baharu Covid-19 dikesan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, keputusan pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup akan diumumkan Rabu ini.

Katanya, mesyuarat jawatankuasa kesihatan awam juga sudah diadakan minggu lalu untuk memperhalusi keputusan melonggarkan pemakaian pelitup muka.

"Saya sudah terima syor daripada pakar kesihatan awam dan masih mengumpul makkum balas orang ramai.

"Pengumuman mengenai perkara itu akan saya buat Rabu depan," katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2022 @ 2:58pm
d