mutakhir

Garis panduan kelulusan penganjuran konsert disemak semula

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melihat dan membuat penilaian semula garis panduan kelulusan konsert hiburan yang bakal diadakan di Kuala Lumpur.

Menterinya Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, semakan baharu perlu dibuat terhadap ketetapan yang diguna pakai oleh DBKL selama ini dalam memberikan kelulusan bagi setiap permohonan permit untuk mengadakan konsert.

Katanya, ia bagi memastikan setiap konsert hiburan tidak melampaui batasan yang sepatutnya sehingga memberi pengaruh tidak sihat terutama membabitkan golongan belia di negara ini.

"Ada yang membuat aduan mengenai beberapa konsert yang dibawa itu tidak menepati kehendak pembangunan insan semasa. Kita boleh berhibur tetapi dalam masa yang sama kita mahu ada kesan yang positif.

"Jadi wilayah ini sebenarnya kami hanya menyediakan premis, jawatankuasa penapis yang berbuat demikian (beri kelulusan)," katanya kepada media selepas hadir menyempurnakan perasmian penutup Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2022 (HBN2022) di Dataran Astaka, Taman Tasik Titiwangsa, di sini, hari ini.

Semakan itu, katanya, turut membabitkan kelulusan permit konsert yang sudah dikeluarkan oleh DBKL namun masih belum berlangsung.

Menurutnya, KWP tidak akan berkompromi sekalipun membabitkan artis terkenal seandainya konsert yang ingin dianjurkan itu mendatangkan kesan negatif terhadap masyarakat terutama belia.

Bagaimanapun, katanya, sebarang keputusan untuk penambahbaikan terhadap garis panduan itu belum diputuskan ketika ini dan hanya akan ditentukan sebaik menelitinya secara terperinci.

Mengulas mengenai program HBN 2022, beliau berkata, belia di negara ini tidak lagi boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat ketika dunia sedang bergerak pantas ke hadapan dalam pelbagai bidang.

"Aspek keagamaan juga jangan dilupakan. Letaklah agama sebagai sandaran dan panduan utama dalam kehidupan seperti prinsip pertama Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan," katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2022 @ 6:10pm
d