mutakhir

Dua beradik bertemu selepas 50 tahun [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Marang: Usaha seorang lelaki warga Singapura menjejaki adik perempuannya selepas terpisah sejak 50 tahun lalu tercapai.

Semalam, Ling Kok Ong, 66, yang juga anak ketiga daripada tujuh beradik disatukan dengan adik perempuannya, Hamsiah Mohamad, 58, di Bukit Payong di sini selepas lebih 50 tahun mereka terpisah.

Mereka dipertemukan semula hasil inisiatif Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun, Wan Mohd Rosli Wan Ngah.

Kok Ong berkata, dia gembira kerana dapat menjejaki adiknya sekali gus dapat menunaikan permintaan ibu mereka yang mahu berjumpa dengan adik yang terpisah sejak dia dilahirkan.

"Walaupun terpisah, kami sentiasa mengingatinya dan sebab itu, saya memang berharap dapat menjejakinya bagi menunaikan impian ibu.

"Kami sekeluarga terutama ibu dan mendiang ayah sentiasa mengingati adik dan sebab itu kami datang ke Terengganu untuk mencari adik," katanya.

Difahamkan, Hamsiah diserahkan kepada pasangan suami isteri Melayu ketika dilahirkan untuk dijadikan anak angkat kerana mereka belum dikurniakan anak.

Ketika itu, mereka menetap di Bukit Besi, Dungun dan perpisahan berlaku apabila keluarganya itu pulang ke Singapura.

Menurut Kok Ong, dia dan isterinya ke Bukit Besi, Dungun pada 17 Ogos lalu untuk menjejaki adiknya namun hampa selepas dimaklumkan keluarga angkat adiknya sudah berpindah manakala bapa angkatnya sudah meninggal dunia.

Bagaimanapun, pertemuan dengan Wan Mohd Rosli dan Ahli Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun yang berusaha menjejaki adiknya akhirnya membuahkan hasil.

"Ada antara ahli persatuan itu mengenali anak saudara Hamsiah dan daripada situ, kami berjaya menjejaki adik yang sudah pun berpindah ke Bukit Payong," katanya.

Bagi Hamsiah yang juga ibu kepada dua anak, dia tidak pernah terfikir dapat bertemu dengan ahli keluarganya memandangkan sudah terpisah lama.

"Saya hanya tahu saya anak angkat ketika berusia 15 tahun dan memang tak fikir akan berjumpa mereka lagi kerana tidak pernah mengenali mereka.

"Alhamdullilah hari ini saya dapat bertemu dengan salah seorang daripada mereka," katanya.

Katanya, walaupun hanya anak angkat, ibu bapanya itu menjaganya dengan baik seperti adik beradik yang lain.

Disiarkan pada: September 5, 2022 @ 3:54pm
d