mutakhir

Polis terima laporan pelakon remaja dakwa diganggu bapa

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Subang Jaya: Polis mengesahkan menerima laporan dibuat seorang pelakon remaja perempuan yang mendakwa diganggu secara seksual oleh bapanya menerusi pendedahan dalam program 'broadcast' di YouTube, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan dibuat remaja berusia 15 tahun itu jam 10.25 malam tadi.

Katanya, dalam laporan itu menyatakan mangsa diganggu secara seksual oleh bapa kandungnya serta tidak menjaga kebajikan remaja terbabit.

"Mangsa juga mendakwa sering dipertontonkan dengan video lucah dalam telefon bimbit bapanya.

"Kejadian itu berlaku sejak 2013 sehingga 2017 ketika mangsa berusia enam tahun semasa tinggal di kawasan daerah ini.

"Suspek dikatakan melakukan gangguan seksual terhadap mangsa apabila ibunya tiada bersama di rumah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Wan Azlan berkata, kes itu dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak Kanak 2001 kerana mengabaikan seorang kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan bagi kesalahan memiliki bahan lucah.

"Orang ramai diminta yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nor Adilah Rosli di talian 016-6873616 atau Pusat Kawalan Daerah Subang di talian 03-78627100 bagi membantu siasatan," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan bapa kepada pelakon remaja perempuan membuat laporan polis susulan pendedahan anaknya berhubung sikap buruk lelaki terbabit yang tular dalam media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim dipetik berkata, lelaki berkenaan membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan berkenaan di Balai Polis Bandar Baharu, Kedah, kelmarin.

Terdahulu, pelakon berusia 15 tahun menjadi tetamu jemputan dalam satu program 'broadcast' di YouTube bagi berkongsi mengenai kisah hidupnya, baru-baru ini.

Pelakon terbabit mendedahkan sikap buruk bapanya selain memperlakukan ibunya dengan teruk.

Kelmarin, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersedia memanggil pelakon terbabit jika ada laporan dibuat.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun dipetik berkata, setakat ini, belum ada laporan rasmi diterima berhubung perkara itu.

Menurutnya, sekiranya perkara itu benar berlaku, pihaknya akan memanggil pelakon terbabit serta bapanya untuk disiasat dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Disiarkan pada: September 6, 2022 @ 6:19pm
d