mutakhir

Youtuber eksploitasi pelakon remaja, perlu diambil tindakan - NGO

Oleh Suzalina Halid

Kuala Lumpur: Tindakan pihak yang menemu bual pelakon remaja perempuan berusia 15 tahun bagi mendedahkan dakwaan perbuatan jenayah bapa pelakon itu adalah suatu bentuk eksploitasi seksual dan perlu diambil tindakan.

Presiden Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia Datuk Dr Raj Karim berkata, pihak itu yang juga Youtuber tidak mempunyai hak untuk menyiarkan pendedahan remaja itu kerana tindakan yang didakwa dilakukan bapa pelakon terbabit adalah suatu bentuk perbuatan jenayah.

Sehubungan itu beliau berkata, mana-mana pihak yang terbabit dalam penyiaran kandungan di media sosial perlu mengikut garis panduan ditetapkan dalam menemu bual kanak-kanak bagi mengelakkan mereka mengeksploitasi golongan berkenaan demi mengejar tontonan yang tinggi.

"Apa tujuan Youtuber itu? Dengan pendedahan melalui temu bual itu, kanak-kanak terbabit sudah dieksploitasi sebanyak dua kali iaitu oleh bapanya (jika benar dakwaan) dan pihak yang menemubualnya.

"Kita ada garis panduan jika ingin menemu bual kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan seksual termasuk mendapat kebenaran dari ibu atau bapa mereka dan tidak boleh dilakukan di tempat awam.

"Kalau di pihak kebajikan yang ingin menemubual mangsa penderaan seksual perlu adanya kaunselor dan perlu peka terhadap gangguan emosi mangsa.

"Kita sendiri tidak tahu bagaimana Youtuber ini mendekati pelakon ini namun yang pasti tindakannya itu adalah tidak betul kerana ia disiarkan secara terbuka," katanya kepada BH, di sini hari ini.

Pada masa sama, Raj berkata, tindakan pelakon itu mendedahkan berhubung pengalaman pahitnya dikhuatiri memberi kesan jangka panjang termasuk kemurungan dan malu.

Beliau berkata, remaja terbabit sepatutnya mendapatkan pertolongan daripada pihak berkuasa termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan membuat laporan polis jika benar berdepan gangguan seksual daripada bapanya sendiri.

Sebelum ini, pelakon remaja ketika ditemu bual dalam sebuah saluran Youtube, mendakwa dirinya menjadi mangsa gangguan seksual ayahnya sendiri.

Disiarkan pada: September 6, 2022 @ 6:48pm
d