mutakhir

Bekas pekerja tak bayar hutang, majikan diganggu along [METROTV]

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: "Kami diberi pilihan sama ada mengesan bekas pekerja itu atau melangsaikan hutangnya dengan segera," kata pengurus sebuah kedai cermin kereta, Tay Poi Kiang, 53, yang diganggu ceti haram atau along selepas bekas pekerjanya gagal membayar pinjaman.

Poi Kiang berkata, dia terkilan dengan perbuatan tidak bertanggungjawab along menyimbah premis perniagaannya di Jalan Dedap 13, Taman Johor Jaya di sini, dengan cat merah pada Isnin lalu.

termasuk di papan tanda kedai di Jalan Dedap 13, Taman Johor Jaya.

Menurutnya, malah terdapat nota ditinggalkan di hadapan premis untuk menuntut hutang yang turut mengandungi nama dan nombor pengenalan salah seorang bekas pekerjanya.

Katanya, lelaki berusia 30 tahun itu dikehendaki along terbabit selepas gagal membuat bayaran pinjaman RM2,554 serta beberapa pinjaman lain yang dibuatnya.

Walaupun menjelaskan bahawa lelaki dikenali sebagai Cheah itu sudah lama berhenti kerja pada 2014, along terbabit tidak mempedulikannya sebaliknya memberi kata dua sama ada membantu cari lelaki itu atau jelaskan hutangnya.

"Cheah hanya bekerja di sini selama 10 bulan dan dia berhenti kerja tanpa sebab selepas menerima bayaran gaji atau bonus akhir tahun serta difahamkan pulang ke Pulau Pinang.

"Ketika bekerja Cheah tinggal di tingkat atas rumah kedai ini dan mungkin membuat pinjaman dengan menjadikan alamat kami sebagai rujukan.

"Sehingga kini kami tidak pernah berdepan dengan permasalahan seumpama ini dan khuatir menerima ancaman ceti haram pada masa depan.

"Akibat ancaman berkenaan, operasi kami terjejas kerana terpaksa membersihkan kesan simbahan cat merah di lantai dan hadapan kedai selain mungkin terpaksa upah kontraktor bagi membersihkan papan tanda atau menggantikan dengan yang baharu," katanya.

Poi Kiang berkata, akibat kejadian berkenaan, pihaknya terpaksa mengalami kerugian kira-kira RM1,000 hingga RM2,000.

Menurutnya, pihaknya berharap ceti haram tidak lagi mengancam lagi premis perniagaan berkenaan.

"Kami juga bimbang dengan keselamatan kumpulan pekerja sekiranya mereka terus mengancam premis ini," katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Taman Johor Jaya pada 5 September lalu.

Poi Kiang turut mengadu masalah berkenaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Jaya, Liow Cai Tung di premis perniagaan berkenaan di Taman Johor Jaya di sini hari ini.

Cai Tung berkata, pihak berkuasa diharap mengambil tindakan terhadap ceti haram yang menggunakan kaedah menakutkan sesiapa sahaja demi mendapatkan semula bayaran pinjaman.

"Kejadian seumpama ini adalah serius dan perlu diambil tindakan kerana terdapat banyak kes ceti haram bebas melakukan apa saja bagi menuntut hutang.

"Tambahan pula mereka turut mengancam individu yang tidak membuat pinjaman dan seolah-olah menunjukkan mereka berkuasa melakukan apa saja bagi menuntut hutang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat harta benda.

Disiarkan pada: September 7, 2022 @ 2:33pm
d