mutakhir

Masalah air di Hospital Machang pulih berperingkat

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) memaklumkan berlaku gangguan bekalan air di Hospital Machang sejak kelmarin.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, siasatan mendapati gangguan itu berlaku pada tangki utama hospital berkenaan berpunca daripada kerosakan loji rawatan air di Sungai Bagan Machang.

Bagaimanapun katanya, pihak Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sudah menghantar bekalan air ke Hospital Machang bagi mengatasi masalah gangguan berkenaan dengan mengisi simpanan air di tangki simpanan utama hospital itu.

"Kita amat prihatin terhadap isu permasalahan air yang berlaku di Hospital Machang sebagaimana yang ditularkan di Facebook (FB) sejak semalam.

"Siasatan awal mendapati Hospital Machang sudah mengalami gangguan bekalan air pada tangki utama hospital berkenaan sejak Isnin yang berpunca daripada kerosakan Loji Rawatan Air di Sungai Bagan Machang.

"Susulan daripada itu, bekalan air sudah kembali pulih pada sebelah petang semalam secara berperingkat dan kadar kekeruhan air juga semakin pulih," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Dr Zaini turut menegaskan bahawa perkhidmatan dan pengurusan pesakit di dalam hospital itu tidak terganggu akibat kejadian permasalahan air yang ditularkan dalam media sosial.

"JKNK merakamkan kekesalan di atas kesulitan yang dihadapi dan berterima kasih atas tindakan segera yang diambil oleh pihak Hospital Machang, Perkhidmatan Sokongan Hospital (Redicara) dan AKSB yang mengambil tindakan segera bagi mengatasi gangguan air berkenaan.

"Pihak kami sentiasa berusaha dan mengambil langkah-langkah penambahbaikan bagi meningkatkan keselesaan serta kualiti penjagaan pesakit," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengatakan berlaku gangguan bekalan air di hospital berkenaan termasuk air keruh menyebabkan berlaku kesukaran dalam kalangan pesakit serta pelawat hospital terbabit.

Disiarkan pada: September 7, 2022 @ 2:51pm
d