mutakhir

Rumah kami bergegar luar biasa

Oleh Mohd Amin Jalil

Rembau: "Rumah kami bergegar kuat sebelum bahagian bumbung tercabut diterbangkan ribut kencang," ujar Rozita Abdul Wahab, 58, berhubung bencana ribut yang merosakkan rumah ibu dan kakaknya di Kampung Tanjung Berangan Sepri di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, rumah kakaknya Anita Abdul Wahab, 59, dan ibu yang terletak bersebelahan rosak teruk pada bahagian bumbung kediaman.

Katanya, ketika kejadian dia berada di rumah ibunya namun rumah kakaknya tidak berpenghuni kerana keluar bekerja.

"Kejadian berlaku secara tiba-tiba dan pantas. Langit yang cerah bertukar gelap disusuli hujan lebat dan ribut petir.

"Saya dan ahli keluarga berada di rumah emak. Namun kami nampak dengan jelas bumbung rumah kakak tercabut diterbangkan angin," katanya tadi.

Sementara itu anita yang juga guru di institut memandu berkata, dia tidak berada di rumah ketika kejadian kerana sedang bekerja.

"Saya bergegas pulang sebaik dimaklumkan kejadian itu. Sebaik tiba di rumah, saya terkejut mendapati bumbung rumah hilang entah ke mana. Rumah rosak teruk," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau, Mohd Izwan Md Said, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang itu menyebabkan rumah anak perempuan mangsa mengalami kerosakan 80 peratus manakala rumah ibu bapanya pula hanya tercabut bumbung.

"Anak perempuannya mengalami kerugian harta benda antara RM50,000 hingga RM100,000 selepas bumbungnya tercabut selain kerosakan barangan elektrik dan perabot.

"Keseluruhannya terdapat empat rumah yang terjejas dengan kejadian itu, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan," katanya.

Disiarkan pada: September 9, 2022 @ 12:41pm
d