mutakhir

Muda kemuka permohonan rasmi sertai PH

Oleh Omar Ahmad

Kulai: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menerima permohonan rasmi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk menyertai gabungan itu hari ini.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, permohonan itu dikemuka Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan DAP menilainya sebagai suatu yang positif serta menggambarkan keistimewaan PH.

"Kita akan bincangkan permohonan ini dalam mesyuarat akan datang, mungkin dua atau tiga minggu (akan dimaklumkan).

"Kita melihat secara positif, jika ada parti yang berminat hendak menyertai PH, bermakna PH ada tarikan dan keistimewaannya dan ia telah pun dinyatakan secara terbuka. Jadi kita akan membincangkan penyertaan atau permohonan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Ibu Pejabat DAP Johor yang baharu di Taman Tropika di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Seremban itu turut memberitahu perbincangan berhubung agihan kerusi menjelang PRU15 boleh dilakukan tanpa menunggu keputusan permohonan Muda.

"Itu tidak jadi masalah, kita tidak boleh tunggu keputusan itu sebelum kita adakan rundingan. Bermakna rundingan tentang agihan kerusi parti komponen PH akan terus berjalan dengan rakan-rakan sedia ada, kita tidak boleh tunggu.

"Sekiranya sudah ada keputusan (penyertaan kemasukan Muda ke dalam PH), itu (agihan kerusi buat Muda) akan dibincangkan kemudian," katanya.

Pada Selasa lalu, Muda bersetuju menyertai PH sebagai antara parti komponen dalam gabungan itu bagi menghadapi PRU15.

Disiarkan pada: September 9, 2022 @ 11:50pm
d