mutakhir

Gaduh pasal sewa rumah rupanya... [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Pertikaian berhubung kenaikan sewa antara penyewa dan pemilik rumah dikenal pasti menjadi punca pergaduhan di Jalan Lemal, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, terdahulu pihaknya mengesan sebuah video tular berdurasi 17 saat, semalam yang dimuatnaik oleh pemilik akaun Facebook Info Banjir Negeri Kelantan.

Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada 11 September lalu dan kedua-dua pihak yang terbabit sudah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk diambil keterangan serta menyelesaikan pertikaian berkenaan.

"Hasil perbincangan, kedua-dua pihak mengakui kesilapan masing-masing serta tidak berhasrat untuk meneruskan kes selain mahu menyelesaikannya secara baik.

"Dalam insiden itu juga tiada sebarang kecederaan serius dialami," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak mudah menyebarkan sebarang berita atau perkara yang tidak pasti bagi mengelakkan kebimbangan dan salah faham berlaku dalam kalangan masyarakat.

Semalam, tular sebuah video menunjukkan pergaduhan membabitkan beberapa individu di tepi jalan berdekatan gerai menjual minuman.

Disiarkan pada: September 13, 2022 @ 11:16am
d