mutakhir

Nak mohon biasiswa tapi kena hantar gambar bogel

Oleh Essa Abu Yamin

Batu Pahat: Pelik apabila syarat memohon biasiswa mesti menghantar gambar bogel tetapi itu yang berlaku ke atas seorang gadis apabila dia menjadi mangsa ugutan ejen tawaran biasiswa palsu.

Pembantu kedai berusia 19 tahun itu diugut video bogel akan disebarkan sekiranya tidak memasukkan RM1,000 ke dalam akaun bank seorang lelaki selepas membuat permohonan biasiswa itu baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, terdahulu mangsa berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi Telegram yang menawarkan biasiswa untuk mangsa melanjutkan pelajaran.

Katanya, sebagai syarat permohonan mangsa perlu menghantar beberapa dokumen dan juga perlu membuat pemeriksaan kesihatan dan fizikal secara dalam talian.

"Mangsa juga perlu memuat naik gambarnya berpakaian dan tidak berpakaian iaitu video dalam keadaan berbogel.

"Selepas itu, mangsa diminta memasukkan wang RM600 ke dalam satu akaun sebagai wang proses pinjaman dan mangsa mematuhi semua arahan berkenaan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ismail berkata, mangsa kemudian menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mengugut akan menyebarkan video bogel yang dihantar jika tidak memasukkan RM1,000 dalam akaun bank yang diberikan.

Katanya, mangsa yang menyedari ditipu kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat pada Ahad lalu sebelum lelaki berkenaan yang berusia 30 tahun berjaya diberkas semalam untuk siasatan lanjut.

"Sebuah telefon bimbit dan kad ATM dirampas. Polis juga yakin berjaya menyelesaikan dua kes peras ugut dengan penahanan suspek yang menggunakan modus operandi yang sama," katanya.

Katanya, polis sedang membuat permohonan reman ke atas suspek bagi membantu siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: September 13, 2022 @ 11:32am
d