mutakhir

Geng Pendang pecah rumah tumpas [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Polis menumpaskan kegiatan pecah rumah sekitar Seberang Perai Utara selepas menahan lima lelaki tempatan termasuk seorang pemilik kedai emas dalam serbuan pada Sabtu dan Ahad lalu.

Serbuan Op Pintu itu dilancarkan selepas polis menerima laporan daripada beberapa mangsa pecah rumah sejak awal tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya membuat serbuan di Kedah dan menahan empat lelaki berusia 29 hingga 39 tahun dikenali Geng Pendang.

"Seorang suspek ditahan di Pendang, seorang di Sungai Petani manakala dua lagi di Alor Setar, Kedah.

"Hasil siasatan ke atas keempat-empat suspek itu, keesokan harinya membawa kepada satu lagi serbuan di Alor Setar yang mana polis menahan seorang suspek berusia 52 tahun iaitu pemilik kedai emas.

"Dia mengaku membeli dan meleburkan barangan kemas yang dijual keempat-empat suspek," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di sini, hari ini.

Katanya, dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai barangan, antaranya beg tangan berjenama, wang tunai, telefon bimbit, peralatan pecah rumah dan kereta sewa jenis Perodua Bezza yang digunakan untuk aktiviti pecah rumah.

"Semakan ke atas semua suspek yang ditahan mendapati mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah, malah dengan penahanan itu kita berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah yang berlaku dalam daerah ini," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek direman bermula Ahad lalu hingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: September 13, 2022 @ 9:11pm
d