mutakhir

Dengar suara akar umbi sebelum MUDA masuk PH

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) perlu mendengar suara akar umbi dan menilai kejujuran Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebelum menerima penyertaan parti itu.

Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kejujuran politik dan manfaat kepada rakyat perlu diutamakan.

Beliau turut mempersoalkan tempoh penyertaan MUDA ketika hampir Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sedangkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin yang menjadi kerusi PKR 'dilanggar' MUDA.

"Kejujuran politik dan semangat isu rakyat penting. Bukan soal hendak masuk PRU, sepatutnya kena tunjuk sejak awal. Cabang Johor Bahru jelas kalau kejujuran itu patut ditunjukkan sebelum. Kenapa sekarang baru nak tunjuk seolah-olah minat kerana bagi kita isu bukan hendakn masuk PRU semata-mata tetapi prinsip perjuangan jauh lebih mendalam.

"Cuma akar umbi di Johor khususnya di Johor Bahru, saya tidak payah cakap, sudah terang lagi bersuluh. Kita menempuh pelbagai kesusahan, ini pilihan raya bukan seminggu dua punya kerja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung isu jejantas karat di Lebuhraya Tebrau di sini, hari ini.

Jelas Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru, keputusan kemasukan MUDA bukan di peringkat cabang tetapi adalah keputusan PH dan untuk menerima parti lain perlu melalui konsensus PH.

"Kita juga faham perkara ini perlu melalui proses. Walaupun pandangan itu bagi saya ketara (menolak) terutama di kalangan akar umbi dan anak muda tetapi kita juga hormati proses di peringkat PH. Oleh sebab itu dalam apa-apa jua pertimbangan perlu melalui Majlis Presiden PH yang mana ada beberapa prinsip perlu dilalui.

"Bagi saya pengalaman melihat proses kepimpinan itu apa-apa keputusan perlu dicapai secara konsensus PH. Isu ini bukan soal PKR bukan soal anak muda PKR tetapi PH secara keseluruhan.

"Isu penyertaaan parti MUDA perlu dinilai macam mana proses yang lain, lebih mendalam dan berprinsip. Kalau majlis presiden tidak dapat dilaksanakan (kemasukan MUDA) maksudnya tidak mencapai konsensus PH maka itulah keputusan yang akar umbi akan terima," katanya.

Berita berkaitan:

Disiarkan pada: September 14, 2022 @ 12:42pm
d