mutakhir

'Sedut' duit menerusi Kit Pakej Android

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Muat turun aplikasi menerusi fail Kit Pakej Android (APK) sebelum 'sedut' semua wang.

Itu modus operandi penipuan baru yang dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) hingga mengakibatkan kerugian ratusan ribu ringgit buat mangsa.

Modus operandi itu dikesan susulan penahanan lima individu berusia antara 17 hingga 21 tahun dipercayai anggota sindiket penipuan berkenaan pada 24 Ogos lalu di ibu negara.

Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, individu warga tempatan terdiri dari tiga lelaki dan dua wanita itu menjerat mangsa menerusi laman sembang (Chatting App) yang terkenal.

"Mereka mencipta akaun palsu dan akan berkenalan dengan individu yang menjadi sasaran mereka.

"Mangsa yang ingin berkenalan dengan lebih rapat akan ditawarkan untuk melihat gambar dan video mereka menerusi aplikasi lain yang akan dihantar melalui fail APK," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa juga diminta untuk membuat pembelian token sebelum boleh mengakses aplikasi berkenaan.

"Aplikasi yang dimuat turun akan mengakibatkan berlaku transaksi pengeluaran wang dari akaun mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan, perkaitan antara sindiket ini dengan kes penipuan lain yang sama masih dalam siasatan," katanya.

Noorsiah berkata, polis menyeru orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengambil tindakan seperti tidak memuat turun fail APK yang dihantar oleh individu tidak dikenali.

"Pengguna juga diminta untuk mengelakkan memuat turun aplikasi APK dari sumber tidak sah dan keselamatan sistem pesanan ringkas (SMS) hendaklah dipelihara kerana akan menerima kod pengesahan (OTP) daripada pelbagai aplikasi di telefon pintar," katanya.

Disiarkan pada: September 14, 2022 @ 7:48pm
d