mutakhir

Etnik Rohingya bayar RM5,000 hingga RM7,000 kepada ejen untuk kad UNHCR [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Tasek Gelugor: Bayar antara RM5,000 hingga RM7,000 kepada ejen bagi urusan mendapatkan kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Itu antara pengakuan yang dibuat beberapa pendatang asing tanpa izin (Pati) etnik Rohingya yang ditahan dalam operasi yang diadakan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Pulau Pinang di sebuah tapak projek perumahan di sini, malam tadi.

Dalam operasi bermula jam 11.15 malam itu, seramai 36 pekerja asing diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 25 pekerja asing dikesan masuk ke negara ini tanpa memiliki dokumen sah, tinggal lebih masa dan mempunyai dokumen meragukan khususnya pemegang kad UNHCR yang dipercayai tidak tulen.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata pihaknya akan membawa perkara itu kepada jawatankuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk penelitian lanjut.

"Dalam operasi ini, seramai 25 Pati ditahan terdiri daripada 10 warga Bangladesh, lapan warga Indonesia, satu warga Nepal, lima warga Myanmar dan seorang wanita warga Myanmar.

"Temubual yang dijalankan ke atas beberapa pemegang kad UNHCR yang terdiri daripada etnik Rohingya, mereka membuat pengakuan bahawa masuk ke Malaysia melalui pintu sempadan negara iaitu melalui Kedah, Thailand dan Kelantan.

"Kemudian mereka membayar antara RM5,000 hingga RM7,000 kepada ejen yang akan menguruskan untuk membawa mereka ke pejabat UNHCR di Kuala Lumpur bagi mendapatkan kad berkenaan yang perkara ini kita akan bawa kepada jawatankuasa KDN untuk diteliti," katanya selepas menyertai operasi berkenaan.

Jelasnya, kesemua Pati itu dibawa ke pejabat imigresen negeri untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 15 (1) (c) akta sama.

Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, Imigresen Pulau Pinang telah menjayakan sebanyak 261 operasi, tahun ini bagi membanteras kemasukan Pati.

"Daripada jumlah itu seramai 193 Pati dan 32 majikan ditahan bahkan ada daripada mereka telah didakwa.

"Walaupun kita lihat jumlah penahanan ini tidak ramai, namun ingin saya nyatakan jumlah kompaun yang dikenakan terhadap mereka adalah lebih RM2.5 juta yang ia agak tinggi," katanya.

Disiarkan pada: September 17, 2022 @ 11:15am
d