mutakhir

Johor pasang WiFi percuma di sekolah agama, masjid [METROTV]

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Kerajaan negeri akan melaksanakan pemasangan WiFi percuma di sekolah agama dan masjid secara berperingkat bermula awal tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pemasangan fasa pertama membabitkan 120 masjid dan 130 sekolah agama.

Katanya, pemasangan WiFi percuma di 120 masjid adalah berdasarkan lokasi yang bersesuaian dan mempunyai keupayaan jalur lebar.

"Tidak semua masjid dan surau akan dipasang WiFi ini, semua perkara ini dikaji, ia bergantung kepada lokasi kerana tidak semua masjid dan surau mempunyai liputan jalur lebar.

"Kemudahan percuma di sekolah agama di Johor juga akan dimulakan secara berperingkat dengan 130 sekolah membabitkan 50 sekolah agama gred A dan 80 sekolah agama gred B.

"Ini bagi membolehkan sistem Johor Pendidikan Islam Digital (JPID) Albayen dilaksanakan. Dalam sistem aplikasi ini ibu bapa pelajar boleh semak kerja sekolah, kehadiran, markah peperiksaan dan yuran anak mereka," katanya pada sidang media selepas sesi libat urus di Masjid Kampung Melayu Majidee di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Islam Johor (PIJ), Khirul Nizam Mat Said.

Terdapat 583 sekolah agama di seluruh Johor dengan kategori gred A membabitkan sekolah yang mempunyai 1,000 murid ke atas, manakala gred B mempunyai 500 hingga 1,000 murid.

Mohd Fared berkata, tidak dinafikan WiFi kini adalah satu keperluan semasa dan bukan kehendak.

"Kita juga akan memperhalusi pelbagai idea masyarakat bagi mengimarahkan masjid dengan membina pusat rekreasi di kawasan masjid.

"Selain itu, keperluan sekolah seperti menggantikan kerusi dan meja yang uzur juga akan diperhalusi," katanya.

Disiarkan pada: September 19, 2022 @ 1:07pm
d