mutakhir

Gaduh angkara burung RM10,000? [METROTV]

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Dua individu ditahan polis susulan pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki yang didakwa berkaitan kecurian burung di Kampung Pantai Kundor di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, kedua-duanya berusia 38 dan 44 tahun diberkas selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 8.33 malam.

Katanya, pihaknya juga sudah mengenal pasti individu lain yang terbabit dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan satu video berdurasi 24 saat yang tular di aplikasi WhatsApp pada 8 malam tadi, memaparkan pergaduhan sekumpulan individu di Kampung Pantai Kundor.

"Setakat ini dua orang ditangkap bagi membantu siasatan. Usaha mengesan dan menangkap suspek lain sedang giat dijalankan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, video tular itu menunjukkan sekumpulan individu bergaduh termasuk menggunakan kayu kerana didakwa seorang lelaki mencuri burung yang bernilai hampir RM10,000.

Orang ramai diminta tidak membuat spekulasi berkaitan kejadian dan mereka yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Ismail di talian 019-2454124 atau 09-7752200.

Disiarkan pada: September 21, 2022 @ 12:29pm
d