mutakhir

Rasuah antara punca rakyat tak dapat perkhidmatan sepatutnya - Sultan Nazrin [METROTV]

Oleh BERNAMA

Shah Alam: Gejala rasuah menjadi antara punca rakyat tidak mendapat perkhidmatan, pengagihan kekayaan tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah, rasuah juga mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelabur asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.

"Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan, tetapi kerana rasuah ada yang terbenam dalam kemelut kemunduran dan tertimbus dalam lumpur kemiskinan. Kekayaan negara disalah guna - hasil mahsul lesap.

"Akibatnya, kemunduran terus melanda, kemiskinan terus merebak. Apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, perlakuan rasuah akan tumbuh melebar... lalu diterima sebagai norma dan meresap menjadi budaya, akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis pelancaran buku 'Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu; Perlunya Disegerakan Transformasi Moral Etika' hasil tulisan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan di sini, hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, rasuah ialah penyakit dalam masyarakat yang bersifat barah, yang menjalar sedikit demi sedikit, merosakkan satu persatu organ organisasi sehingga akhirnya melumpuhkan organisasi dan membawa maut, jika dibiarkan merebak tanpa disegerakan rawatan kemoterapi.

Titah baginda, daripada 180 negara yang dilaksanakan penilaian oleh Transparency International, Malaysia jatuh daripada kedudukan ke-57 dengan skor 52 pada 2020, ke kedudukan ke-62 mencatat skor 48 pada tahun lepas dan kini Malaysia dikelompokkan dalam kumpulan dua pertiga negara yang mencapai skor di bawah 50.

"Oleh yang demikian, kita tidak boleh memandang ringan, bersifat leka, memilih melakukan penafian, memikirkan segala justifikasi - bersilat dengan segala helah mahu menidakkan kewujudan 'gajah' rasuah di hadapan mata," titah baginda.

Sultan Nazrin menegaskan, masyarakat wajib bersifat berani mengakui realiti bahawa amalan rasuah sedang berlaku pada skala yang membahayakan berdasarkan teguran berulang kali yang terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

"Bilangan aduan serta rungutan yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, subjek yang terkandung dalam surat layang, berita yang terpapar dalam media dan isu yang diuar-uarkan dalam media sosial, hendaklah dijadikan cermin serta dianggap petunjuk kepada situasi rasuah yang berlaku.

"Malah, jalan raya berlopak, longkang tersumbat, bangunan runtuh, bumbung bocor, pencemaran alam, penerokaan haram, rumput dan taman yang tidak terurus, masing-masing mempunyai bahasa tersendiri, menyampaikan mesej akan standard tadbir urus yang sedang berlaku," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, hari ini, lebih ramai manusia yang disesatkan dengan kuasa dan kekayaan tanpa sedar dan malu akan kebarangkalian tergelincir melakukan perbuatan berunsur syirik kerana sanggup mengabdikan diri menjadi hamba kepada wang, kuasa, pangkat dan jawatan sehingga mendewakan manusia lain.

Disiarkan pada: September 22, 2022 @ 11:59am
d