mutakhir

Jual makanan tercemar, peniaga bazar didenda RM1,200

Oleh Izz Laily Hussein

Kulai : Seorang peniaga makanan di bazar bermusim dekat Kelapa Sawit di sini, didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menjual makanan mengandungi mikroorganisma patogenik, April lalu.

Tertuduh, Mohd Salleh Sahahid, 57, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menjual makanan yang tidak mematuhi kehendak penjualan makanan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Bazar Ramadan Taman Manis, Kelapa Sawit di sini, jam 4 petang, 5 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Peraturan 39(2) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dihukum di bawah Peraturan 397(2) peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa dari Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) Idris Ahmad, memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran dan bagi meningkatkan kesedarannya serta masyarakat supaya lebih peka dan patuh mengenai isu keselamatan makanan selain memastikan pengguna dapat membeli makanan selamat dimakan yang dijual di pasaran.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon hukuman denda yang rendah kerana menjaga ibu yang sakit dan masih mempunyai tanggungan anak yang masih bersekolah.

Berdasarkan fakta kes, pegawai serbuan Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan Pejabat Kulai telah menjalankan aktiviti persampelan makanan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Difahamkan, hasil analisa yang dijalankan di Makmal Kesihatan Awam Johor Bahru mendapati makanan yang diuji tercemar dengan mikroorganisma berkenaan.

Disiarkan pada: September 22, 2022 @ 8:34pm
d