mutakhir

Dakwaan culik, polis buat rondaan di SK Sri Wangi

Oleh Paya Linda Yahya

Gua Musang: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat rondaan dan pemantauan di Sekolah Kebangsaan Sri Wangi, di sini, ketika pelajar pulang pada waktu tengah hari serta petang susulan tular pesanan WhatsApp mendakwa hampir berlaku penculikan di lokasi itu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, tindakan itu akan dilakukan pada waktu murid pulang sekitar 12.45 tengah hari serta selepas Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) jam 4.45 petang.

Katanya, sebelum ini tular pesanan di aplikasi WhatsApp berkaitan kes penculikan membabitkan dua murid sekolah itu ketika mereka pulang dari Kelas Asas Fardu Ain (Kafa) jam 5 petang, masing-masing Isnin dan Selasa lalu.

"Kejadian pertama Isnin lalu membabitkan murid tahun empat yang mendakwa dua lelaki tidak dikenali menaiki Perodua Kancil warna putih berada di sebelah jalan menghala ke Gua Musang yang memanggilnya, namun tidak dihiraukan.

"Kes kedua membabitkan murid tahun satu yang dipanggil dua lelaki menaiki Perodua Myvi warna kelabu yang turut tidak dihiraukan mangsa," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, pihak sekolah bertemu dan bertanya kepada mangsa berhubung kejadian.

Menurutnya, pengadu bimbang dengan keselamatan pelajar dan memohon polis supaya membuat rondaan serta pemantauan.

"Kita masih menjalankan siasatan lanjut dan berharap ibu bapa dapat mengambil anak masing-masing tepat pada masanya selain menasihatkan anak mereka tidak bermain di luar pagar sekolah," katanya.

Beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes itu dan boleh berhubung terus dengan polis di talian 011-55518768.

Disiarkan pada: September 22, 2022 @ 9:51pm
d