mutakhir

UPSI bantu realisasikan aspirasi Muar Perkasa 2030

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan membantu merealisasikan aspirasi Muar Perkasa 2030 dengan menggembleng segala kepakaran yang dimiliki institusi pendidikan tersohor itu.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, Muar adalah daerah berpotensi dan memiliki nilai sejarah yang menarik.

Katanya, UPSI yang menyambut ulang tahun ke-100 sejak zaman Sultan Idris Training College (SITC), melahirkan ramai tokoh pendidikan, negarawan dan persuratan.

Malah, menurutnya, universiti itu mencapai kemajuan termasuk di pentas antarabangsa hari ini sehingga menjadi institusi rujukan dunia pendidikan negara.

"Pelbagai fasiliti seperti UPSI Sport City, UPSI Adventure Park, Perpustakaan Digital, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara( NCDRC) dan Adventure Leadership and Outdoor Recreation Academy (AURORA) antara yang melonjakkan nama UPSI.

"Kekuatan dan keistimewaan dimiliki Muar dari aspek sejarah, kepimpinan, gastrotourism akan diperkukuhkan dengan idea baharu dari UPSI dalam memacu hala tuju kecemerlangan daerah itu," katanya ketika berucap merasmikan program Retreat Muar Perkasa 2030 pada kunjungan Delegasi Majlis Daerah Muar di Scholar's Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Majlis Daerah Muar, Jamil Hasni Abdullah serta Pentadbir Tanah Daerah Muar, Muhamad Helmi Ya'kub.

Seramai 70 wakil agensi kerajaan daerah Muar hadir pada majlis menerima Delegasi Pejabat Daerah Muar berkenaan.

Md Amin berkata, UPSI akan membantu Muar dari aspek memperkasa agensi dan komuniti, ekonomi dan bidang keberhasilan baharu, melonjakkan pendidikan, peradaban dan perpaduan serta digital.

"Selain itu, kami juga membantu hasrat mengupayakan kelompok belia dan warga emas penghayatan, mengupayakan ekosistem Living Lab dan Revolusi Industri 4.0 dan Society 5.0.

"Kita menyarankan penekanan terhadap aspek membina jati diri masyarakat Muar selain memanfaatkan sejarah dan legasi, penciptaan peluang pekerjaan, pembangunan, ekonomi serta keinsanan.

"Ia sekali gus dapat mengarusperdanakan Muar sebagai Bandar Maharani Bandar Diraja," katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa persamaan dari aspek legasi sejarah, bumi nasionalis, gastrotourism, serta hasrat untuk terus maju dalam konteks hala tuju Muar Cemerlang 2030 antara universiti itu dengan daerah berkenaan.

"Muar dikenali dengan makanan seperti mi bandung, mi siput, sirap bandung serta satay yang menjadi tarikan kepada masyarakat luar," katanya.

Pegawai Daerah Muar, Datuk Mustaffa Kamal Shamsudin berkata, pemukiman itu bertujuan memantapkan sistem pentadbiran agensi-agensi kerajaan yang dapat membantu memperkasakan hala tuju Muar Perkasa 2030.

Katanya, kunjungan delegasi Muar bertujuan berkongsi aspirasi kecemerlangan sebagai penanda aras untuk memperkukuhkan hubungan antara agensi.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan UPSI yang sudi berkongsi idea-idea menarik yang dapat membantu usaha merealisasikan aspirasi Muar Perkasa 2030," katanya.

Disiarkan pada: September 22, 2022 @ 9:52pm
d