mutakhir

Teliti buat songkok tak boleh 'asal siap' [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Machang: Biarpun pada awalnya sukar namun Nik Yusnata Nik Yaacob, 47, tegar meneruskan pekerjaannya mengambil upah menjahit songkok di sebuah kilang di sini, bagi menyara keluarga kecilnya dan ibunya yang sudah uzur sejak 12 tahun lalu.

Menurutnya, pendapatan yang diperoleh hanya cukup makan namun ia memadai kerana dengan gajinya itu dia menyara anak tunggalnya berusia 16 tahun dan ibunya, Azizah Satar, 66 selepas kematian ayahnya Nik Yaacob Nik Mat akibat serangan jantung pada September 2005.

"Pendapatan yang diperoleh hanya sekadar cukup makan dan bergantung kepada jumlah songkok yang boleh dijahit.

"Namun saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya masih ada pendapatan untuk menyara keluarga serta tidak mengharapkan belas ihsan orang lain. Meskipun ada adik beradik lain namun saya tidak mahu menyusahkan mereka," katanya yang sebelum ini bekerja di sebuah kilang alat ganti kenderaan di Kajang, Selangor, namun mengambil keputusan pulang ke kampung untuk menjaga ibu.

Nik Yusnata yang ditemui di Kampung Sungai Mas berkata dia tertarik dengan pekerjaan itu kerana pembuatan songkok memerlukan ketelitian dan tidak boleh dilakukan dengan sikap 'asal siap' kerana ia mempengaruhi penampilan si pemakai.

"Pada awalnya memang agak sukar untuk biasakan diri menjahit songkok yang memerlukan ketelitian dan juga kekemasan, namun lama-kelamaan jadi mahir dan mampu siapkan 120 songkok sehari.

"Antara bahagian songkok yang susah dijahit adalah apabila hendak mencantumkan bahagian bumbung dan dinding dalam songkok kerana jika tersilap songkok akan menjadi senget serta menimbulkan rasa kurang selesa kepada si pemakai.

"Bagaimanapun, tempurung songkok akan dibuat oleh pekerja lain yang lebih berpengalaman dan selepas ia siap dibentuk, saya akan memotong kain baldu mengikut saiz songkok untuk dibalut dan kemudiannya dijahit," katanya

Katanya, setiap Ramadan dan menjelang sambutan Hari Kebangsaan adalah waktu paling sibuk kerana dia akan membuat lebih banyak songkok berbanding hari biasa.

"Tempahan banyak diperoleh pada waktu itu kerana ramai mahu memakai songkok baharu ketika menyambut Hari Raya," katanya.

Disiarkan pada: September 23, 2022 @ 7:42pm
d