mutakhir

Jenazah Bob Lokman selamat dikebumikan [METROTV]

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Jenazah pelakon dan penulis lirik Bob Lokman, 58, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Pulau Bunut, Kubang Kerian pada 9.30 malam ini.

Terdahulu jenazah Allahyarham Bob Lokman atau lebih dikenali Mohd Hakim Lokman dimandi serta dikafan di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian dan disolatkan di Masjid Kampung Pulau Hilir.

Lebih 100 ahli keluarga, rakan artis dan kenalan hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada arwah.

Antara artis turut hadir ialah Datuk M Nasir dan Datin Marlia Musa.

Sementara itu, M Nasir berkata, dia amat terasa dengan kehilangan arwah dan beberapa bulan sebelum itu, dia sempat datang menziarahi arwah dan ketika itu keadaan arwah tidak begitu sihat

"Hubungan saya dengan arwah dianggap seperti adik-beradik dan kami bertemu buat pertama kali pada tahun 1980-an sebelum arwah bersama kumpulan Wings sebagai pengurus.

"Beberapa tahun kemudian, kami bertemu lagi dan arwah masih bersama kumpulan Wings dan sejak itu hubungan kami terus rapat.

"Arwah mempunyai pendirian dan setiap seni kata yang ditulis dalam lirik mempunyai keunikan kerana arwah berfikiran tersendiri dan kebanyakan lagu ciptaannya juga menjadi siulan ramai," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Kampung Pulau Bunut, Kubang Kerian, di sini, malam ini.

Media hari ini melaporkan, Bob Lokman meninggal dunia di kediamannya di Kubang Kerian akibat komplikasi jantung, pada 3 petang

Sebelum ini, Bob pernah menjalani pembedahan memasukkan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) untuk menstabilkan denyutan jantungnya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, pada awal Disember 2020.

Pada 21 April lalu, Bob berpindah ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut, namun akibat kekangan kewangan dialami, Bob hanya mendapatkan rawatan selama tiga hari di IJN dan keluar dari hospital serta balik ke Kelantan pada 24 April lalu.

Bob yang juga penulis lirik lagu Isabella dan Taman Rashidah Utama meninggalkan seorang balu, Relawati Daud, 42, dan tujuh cahaya mata.

Allahyarham juga adalah cicit kepada seorang ulama terkenal di Kelantan iaitu Tok Kenali (1870-1933).

Disiarkan pada: September 23, 2022 @ 10:43pm
d