mutakhir

Inovasi sang kapten

Oleh Rosman Shamsudin

Slim River: Pengalaman ketika menjalankan misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa di air dan banjir memberi idea atau ilham kepada sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Muallim menghasilkan satu reka cipta dan inovasi untuk memastikan misi berkenaan berjalan lancar.

Hasil reka cipta dan inovasi berkenaan dikenali sebagai Multi-purpose Rescue Floating Platform atau dikenali MRP yang bukan sahaja boleh digunakan ketika operasi SAR mangsa banjir, tetapi boleh juga dijadikan sebagai menara penyelamat di kawasan pantai yang menjadi tumpuan awam.

MRP yang panjang kira-kira 250 sentimeter (cm) dan lebarnya 150cm diperbuat daripada pontoon sebagai bahan utama yang mempunyai material High Density Polyethylene ( HDPE) di samping palang penghadang pula daripada aluminium dan dilengkapi dengan enjin bot 15HP.

Pegawai APM Daerah Muallim Kapten (PA) Shahrizal Hussin berkata, idea reka cipta dan inovasi menghasilkan MRP bagi kegunaan SAR di air hadir dari dia sendiri lalu disahut oleh anggota APM di daerah berkenaan.

Shahrizal berkata, kerja pemasangan dan menghasilkan MRP bermula pada awal Februari lalu dan siap sepenuhnya hujung bulan April yang lalu.

"Sebenarnya MRP ini direka cipta berdasarkan pemerhatian dan pengalaman saya ketika menyertai operasi SAR terutama di air sama ada di kawasan banjir atau di pantai.

"Bagi kawasan pantai yang menjadi tumpuan orang ramai, tetapi tidak mempunyai menara penyelamat atau peninjau pantai maka MRP boleh digunakan kerana permukaan yang mendatar dan diperbuat daripada bahan yang boleh terapung di air menjadikan ia stabil," katanya ketika ditemui di pekarangan APM Daerah Muallim, dekat sini.

MRP seberat 250 kilogram (kg) yang membabitkan kos pembuatan kira-kira RM3,500 itu mampu memuatkan lapan orang penumpang termasuk juru pandu bot.

Malah, MRP berkenaan juga dipandu uji tiga kali di laut serta julung kalinya digunakan dalam operasi SAR ketika banjir di Trolak Pekan, Trolak yang dilanda banjir pada Mei lalu.

Mengenai kelebihan MRP, dia berkata, MRP yang direka cipta lebih fleksibel daripada bot kerana permukaan MRP yang rata memudahkan MRP masuk ke kawasan paras air cetek.

Malah, MRP juga memudahkan anggota APM membawa mangsa banjir yang terdiri orang kurang upaya (OKU), warga emas, dan orang sakit terlantar yang tidak mampu bergerak dengan normal.

Di samping itu, katanya, jika air atau arus deras dan bergelombang sama ada di sungai atau laut, MRP tetap dalam keadaan stabil.

Disiarkan pada: September 24, 2022 @ 7:01am
d