mutakhir

Orang awam cekup lelaki larikan barang kemas RM30,000

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Lelaki yang melarikan barang kemas dari kedai emas seperti dalam video yang tular di media sosial malam tadi sebenarnya sudah ditahan sejam selepas melakukan jenayah itu Khamis lalu.

Video berdurasi 1 minit 32 saat yang ditular menerusi aplikasi TikTok itu memaparkan lelaki itu yang melarikan seutas barang kemas dari sebuah kedai emas di Jalan Putra, Mergong di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, siasatan mendapati kejadian jam 5 petang Khamis lalu apabila suspek yang berpura-pura sebagai pelanggan itu melarikan rantai tangan emas seberat 99.34 gram bernilai kira-kira RM30,000.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada hari yang sama sekitar jam 6.35 petang.

"Siasatan awal pihak polis mendapati suspek dalam kejadian ini iaitu seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun sebelum itu datang ke premis berkenaan kononnya mahu membeli barangan kemas.

"Namun suspek secara tiba tiba melarikan diri bersama seutas rantai tangan emas anggaran berat 99.34 gram dari premis terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shukri berkata, jurujual kedai emas itu yang menyedari tindakan lelaki itu kemudiannya segera mengejar suspek sebelum menghubungi pihak polis.

Beliau berkata, polis yang menerima makluman kejadian itu kemudian menggerakkan pasukan dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Alor Setar ke lokasi.

"Orang awam berjaya membantu menahan suspek di lampu isyarat Tambang Badak, di sini sebelum diserahkan kepada polis yang melakukan tangkapan semula.

"Suspek direman empat hari bermula semalam sehingga 26 September ini untuk membantu siasatan," katanya.

Ahmad Shukri berkata, pihaknya turut merampas kenderaan yang dinaiki suspek iaitu jenis Volkswagen MK7 untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, rantai emas itu dianggarkan bernilai hampir RM30,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: September 24, 2022 @ 11:21am
d