mutakhir

Bekalan barangan mencukupi di kawasan terpencil [METROTV]

Oleh Nazdy Harun

Kuala Nerus: Kerajaan memberi jaminan bekalan keperluan harian termasuk gas petroleum cecair (LPG), petrol dan diesel mencukupi terutama di kawasan-kawasan Point Of Sales (POS).

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Azman Mohd Yusof berkata, transporter yang dilantik berperanan membeli dan menghantar barangan ke lokasi POS yang ditetapkan.

Menurutnya, bilangan POS di negara ini iaitu di Sarawak adalah sebanyak 1,019, Sabah (845), Pahang (67), Kelantan (49), Kedah (18) dan Terengganu (7).

"Barangan asas seperti beras, gula, tepung gandum, minyak paket, LPG, petrol RON95 dan diesel boleh diperoleh di kesemua POS yang diwujudkan.

"Kerajaan mendapati penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman terpaksa membayar pada harga tinggi bagi mendapatkan barang keperluan berbanding penduduk yang tinggal di bandar atau pekan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) di Pasaraya Segar Taif, di sini, hari ini.

POS adalah pusat jualan atau kedai runcit yang membeli bekalan barangan dihantar oleh transporter dan menjual barangan kepada pengguna setempat pada harga yang ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, barangan keperluan itu turut membabitkan barangan bersubsidi yang seharusnya dijual pada harga sama di seluruh negara.

Namun, katanya, ia berdepan kos pengangkutan tinggi kerana jarak yang jauh ke kawasan terpencil dan melalui jalan yang sukar seperti laluan balak, sungai, jeram dan sebagainya.

Selain itu, kemudahan infrastruktur perhubungan kurang baik serta bentuk muka bumi seperti bukit, gunung dan pulau turut menyumbang kepada kadar kos pengangkutan amat tinggi.

"Melalui Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming (Program Penyeragaman Harga), kerajaan menanggung kos pengangkutan tujuh barangan terbabit dengan melantik transporter untuk membeli barangan daripada pembekal.

"Seterusnya mereka akan menghantar dan menjual bekalan berkenaan ke POS di kawasan pengedaran masing-masing," katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2022 @ 2:44pm
d