mutakhir

Hanya bersandar di jambatan, bukan cuba terjun [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Polis menafikan dakwaan cubaan seorang wanita terjun dari Jambatan Tendong, di sini, semalam sebaliknya individu terbabit disahkan hanya bersandar di jambatan kerana kemurungan sejak tiga tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, sebuah video berdurasi 43 saat yang tular di media sosial menunjukkan wanita memakai baju kurung itu sedang ditenangkan orang ramai

Menurutnya, anggota polis bergegas ke lokasi kira-kira 9.30 pagi selepas menerima maklumat dan bertanya kepada mangsa mengenai apa yang berlaku, namun dia hanya mendiamkan diri.

"Wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke wad psikiatri dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

"Temubual dengan ahli keluarga mendapati wanita berkenaan belum berkahwin dan disahkan mengalami masalah kemurungan sejak tiga tahun lalu.

"Selain itu, dia dilaporkan keluar dari rumah di Kota Bharu pada 7 pagi seorang diri sebelum ditemui sedang bersandar di jambatan berkenaan dua jam kemudian oleh orang awam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, orang awam menyangka wanita terbabit ingin membunuh diri lalu menghubungi pihak polis, namun sebenarnya dia hanya berhenti berehat dan bersandar pada jambatan.

"Bagaimanapun, terima kasih diucapkan kepada mereka yang membantu kerana situasi mangsa yang berada atas jambatan ini adalah berbahaya dan pelbagai kemungkinan boleh berlaku

"Pada masa sama, saya menasihatkan orang ramai agar tidak mudah menyebarkan sebarang berita atau perkara yang tidak pasti bagi mengelakkan salah faham berlaku dalam kalangan masyarakat," katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2022 @ 3:03pm
d