mutakhir

Lebih 1 juta pelarian di Syria perlukan rumah [METROTV]

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Lebih 1 juta pelarian di Syria memerlukan rumah selepas kediaman mereka rosak teruk dan musnah akibat peperangan sejak 11 tahun lalu.

Koordinator Perhubungan Awam Yayasan ATAA Relief, Mohammad Abdul Latif berkata, pihaknya menerusi bantuan dan dana dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) beberapa negara, sedang membangunkan 3,500 rumah di utara Syria iaitu di bandar Idlib, A'zaz, Al-Bab dan Jarabulus.

Katanya, rumah itu untuk pelarian yang ketika ini hanya menjadikan khemah sementara sebagai tempat berteduh.

"Kita dalam perancangan untuk membangunkan sebanyak 4,500 rumah sekitar Jarabulus, Idlib dan Al-Bab dan dijangka siap Februari tahun depan.

"Setiap rumah akan didiami sebuah keluarga dengan kapasiti antara lima orang atau lebih.

"Kami memohon orang ramai terutama rakyat Malaysia untuk bersama-sama membantu membangunkan kediaman bagi pelarian Syria untuk, kehidupan yang lebih selesa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Syria, Yaman dan Afghanistan bersama Yayasan ATAA, MyCARE dan Econsave Cash and Carry di Econsave Teratai, Skudai di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Pemegang Amanah MyCARE, Dr Mohd Zin Kandar dan Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash and Carry, Mas Imran Adam.

Sementara itu, Dr Mohd Zin berkata pihaknya bersama Econsave akan membuka kaunter wakaf pembinaan rumah pelarian Syria di pasar raya itu.

Katanya sebuah rumah memerlukan kos RM14,000 dan kaunter wakaf bagi tujuan itu akan mula dibuka bulan depan di pasar raya Econsave yang terpilih.

"Pewakaf boleh mewakafkan wang mereka serendah RM50 dan jika mampu boleh mewakafkan untuk nilai sebuah rumah," katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2022 @ 3:07pm
d