mutakhir

Peniaga mengeluh, bekalan telur ayam terjejas [METROTV]

Oleh Paya Linda Yahya

Gua Musang: Peniaga di daerah ini mendakwa berdepan masalah kekurangan bekalan telur ayam sejak dua minggu lalu sekali gus menjejaskan peniaga termasuk pengusaha kedai makan dan pembuat kek dan biskut.

Tinjauan di dua pasar raya dan kedai runcit turut mendapat tiada bekalan telur, hari ini dan difahamkan akan menerima bekalan pada Selasa atau Khamis ini.

Peniaga kedai runcit, Nurul Fatehah Saupi, 33, berkata sepanjang bulan ini, bekalan telur yang sampai hanya seminggu sekali.

"Malah jumlah yang diterima juga sangat terhad... untuk kedai saya hanya menerima 50 papan seminggu dan sememangnya tidak mencukupi untuk menampung permintaan tinggi.

"Ramai pelanggan yang datang mahu membeli telur, namun pulang kecewa kerana telur sudah habis," katanya.

Pemilik kedai bakeri, Mohamad Shamsul Ridzuan, 32, berkata dia berhadapan masalah untuk menyiapkan tempahan pelanggan kerana masalah kekurangan bekalan telur ayam.

"Masalah kekurangan bekalan ini berlaku sejak dua minggu lalu. Kebanyakan kedai di daerah ini kehabisan bekalan telur ayam.

"Keadaan ini memberi kesan kepada perniagaan saya kerana adakalanya terpaksa menolak tempahan pelanggan kerana masalah kekurangan bekalan telur ayam," katanya.

Manakala pengusaha kedai makan, Mimiliza MohdZain, 36, berkata kekurangan bekalan telur turut memberi kesan kepada operasi perniagaannya.

"Kebanyakan menu yang dijual di kedai saya berasaskan telur seperti mi bandung, kue tiaw bandung, kue tiaw kung fu dan nasi goreng Pattaya tapi bila berlaku masalah kekurangan bekalan telur maka ramai pelanggan yang tidak berpuas hati.

"Saya harap masalah kekurangan bekalan telur ayam ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin kerana boleh memberi kesan kepada semua rakyat," katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2022 @ 5:09pm
d