mutakhir

2 beranak maut motosikal terlanggar ayam hutan melintas

Oleh Omar Ahmad

Kota Tinggi: Dua beranak maut selepas motosikal yang ditunggangi terbabas merempuh pokok akibat terlanggar ayam hutan di kilometer 39.5 Jalan Kota Tinggi-Kluang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kemalangan itu kira-kira 8 malam.

Katanya, penunggang motosikal Yamaha MT-09, lelaki berusia 40 tahun dan anaknya berusia sembilan tahun, maut di lokasi kejadian.

"Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal terbabit yang dalam perjalanan dari Bandar Tenggara menghala ke Felda Pengeli Timur, hilang kawalan akibat melanggar ayam hutan yang secara tiba-tiba melintasi jalan.

"Orang awam yang menyedari kejadian itu pada 7.40 malam lalu memaklumkan kemalangan itu kepada polis," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: September 26, 2022 @ 1:31pm
d