mutakhir

Syukur terima sijil hak milik rumah [METROTV]

Oleh Ahmad Ismail.

Segamat: Generasi kedua Felda Pemanis 1 dan Felda Pemanis 2 di sini bersyukur menerima Sijil Layak Hak Milik Tanah, sesuatu yang ditunggu-tunggu selama ini.

Seorang penduduk, Norehan Hussein, 37, berkata, dia bersyukur kerana perjuangan bapanya, Hussein Abd Ghani, 70, peneroka asal di sini bersama rakan-rakannya membuahkan hasil.

Dia di antara 117 pemohon tanah membabitkan pembinaan kediaman generasi kedua di Felda Pemanis 1 dan Felda Pemanis 2.

"Inilah penghargaan paling bernilai hasil kesabaran kami sejak lebih lapan tahun lalu," katanya yang menerima pemilikan tanah daripada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurutnya, bapanya antara yang terawal terbabit dalam pembukaan kampung itu sehinggalah mendapat pelbagai kemudahan.

"Malah, dia terbabit dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan turut sama menjaga nama baik Felda membabitkan penduduk asal," katanya.

Seorang lagi penerima Nor Fadillah Jiran 37, pelbagai cabaran dihadapi sepanjang 37 tahun tinggal di situ.

"Kami tidak putus asa membuat permohonan untuk memiliki tanah ini, syukurlah kali ini permohonan kami diluluskan dan diberikan sijil," katanya.

Sementara itu Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri gembira kerana dapat menyempurnakan hajat menyerahkan Sijil Layak Milik Tanah Notis 5A, generasi baharu berkenaan.

"Kehadiran saya pada majlis ini adalah untuk menyampaikan Notis 5A kepada pemohon yang berjaya, sekali gus membuktikan kerajaan Johor mampu menunaikan dan mengotakan janjinya," katanya.

"Saya berulang kali menegaskan rumah adalah keperluan asas. Di mana juga kita menetap, sejauh mana kita menjelajah mencari rezeki, rumah tetap menjadi aset utama dalam keperluan kehidupan kita," katanya.

Disiarkan pada: September 26, 2022 @ 5:44pm
d