mutakhir

KPDNHEP siasat kad NFC dijual lima kali ganda lebih tinggi

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan penjualan kad Komunikasi Medan Dekat (NFC) Touch 'n Go (TnG) dengan menawarkan harga lima kali ganda, menerusi plaftorm pasaran dalam talian.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, berdasarkan siasatan awal kes penjualan kad NFC membabitkan pekerja di kaunter pembayaran sebuah stesen minyak.

Katanya, individu berkenaan didapati menjual sekeping kad NFC yang asalnya berharga RM10 (tanpa ada sebarang kredit di dalamnya) dengan harga lima kali ganda.

"Pasca pemeriksaan awal, sebanyak enam notis dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 kepada pihak terbabit antara lain menuntut supaya maklum balas atau penjelasan rasmi perlu dikemukakan kepada Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP.

"Kegagalan pihak terbabit berbuat demikian boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21(5) AKHAP 2011 kerana enggan atau gagal mengemukakan maklum balas," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Alexander berkata, KPDNHEP dan pengurusan kanan kementerian akan mengadakan pertemuan dengan syarikat TnG yang dijangka berlangsung minggu ini.

"Pertemuan ini antara lain bertujuan untuk mendapatkan status kaedah semasa penjualan dan isu kekurangan bekalan kad NFC seperti dikemukakan ramai pengguna," katanya.

Penjualan kad NFC mengundang polemik dalam kalangan pengguna apabila bekalan itu terhad di semua saluran sejak April lalu.

Mengikut makluman sebelum ini, saluran yang dihebahkan kepada orang ramai sebelum ini menyatakan pembelian kad boleh dibuat sama ada secara datang terus ke premis stesen minyak terpilih atau menerusi transaksi dalam talian aplikasi TnG.

Disiarkan pada: September 28, 2022 @ 11:08am
d