mutakhir

Warga Bangladesh takluk perniagaan bundle pula

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Warga asing Bangladesh kini menjadi pilihan peniaga pakaian terpakai atau bundle untuk bekerja di Pasar Jalan Haji Taib, di sini.

Tinjauan Harian Metro mendapati warga asing terbabit memulakan perniagaan sejak jam 3 petang.

Pakaian bundle memang sinonim dengan Jalan Haji Taib yang sebelum ini terkenal dengan gelaran 'belakang mati'.

Ketika disapa wartawan, seorang lelaki Bangladesh mengakui dia hanya bekerja dan bukan pemilik perniagaan bundle berkenaan.

"Saya hanya kerja saja di sini. Tauke (majikan) orang tempatan. Setiap hari kami akan buka kedai.

"Saya tidak boleh buka perniagaan di sini kerana tiada modal," katanya ketika ditemui.

Ketika melalui lorong berkenaan, tidak kurang lima kedai bundle yang menggajikan pekerja asing yang majoritinya dari Bangladesh.

Pemerhatian wartawan juga mendapati, biarpun perniagaan ini tidak begitu sinonim dengan pekerja Bangladesh, mereka seolah-olah 'selesa' mencari rezeki di situ.

Walau bagaimanapun, masih ramai peniaga tempatan yang kebanyakan menjual pakaian, kasut dan aksesori.

Umum mengetahui, Bangladesh adalah sebuah negara yang terkenal dengan perusahaan tekstil di dunia dan tidak mustahil mereka akan bertapak di dalam industri itu di sini satu hari nanti.

Disiarkan pada: September 28, 2022 @ 10:22pm
d