mutakhir

Guru cemerlang sekolah rendah berpeluang naik gred

Oleh Samadi Ahmad

Dengkil: Guru cemerlang sekolah rendah kini berpeluang dinaikkan gred lebih tinggi sehingga DG52 atau DG54.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, kriteria dan perincian mengenai kenaikannya akan diumumkan kementerian dalam masa terdekat.

"Kementerian sedar sudah ramai guru siswazah ditempatkan di sekolah rendah iaitu sekitar 90 peratus dan mereka akan diberi ruang sama seperti guru di sekolah menengah.

"Gred guru penolong kanan juga akan turut dinaikkan pangkat sekiranya memenuhi kriteria ditetapkan," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke tapak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Warisan di sini hari ini.

Beliau mengulas rungutan dalam kalangan guru sekolah rendah mengenai kuota guru cemerlang yang hanya setakat gred DG48 sahaja berbanding guru sekolah menengah sehingga gred DG52 dan DG54 sedangkan mereka mempunyai tahap pendidikan sama.

Semalam media melaporkan, KPM memutuskan untuk terus mengekalkan jawatan guru besar sebagai pentadbir yang menyandang gred DG52, tanpa perlu kembali bertugas sebagai guru biasa di sekolah rendah.

Radzi berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF) juga sudah bersetuju untuk meningkatkan gred tersebut.

"Guru penolong kanan tak perlu risau kerana kementerian sudah membuat penyusunan semula dalam model baharu struktur dalam organisasi di sekolah dan perincian akan dimaklumkan dalam masa terdekat," katanya.

Disiarkan pada: September 30, 2022 @ 6:27pm
d