mutakhir

Terkejut ular sawa dalam mesin basuh di pusat dobi

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Hasrat seorang pelanggan untuk membasuh pakaian di pusat dobi layan diri di Taman Impian Emas di sini, semalam terbantut selepas terkejut dengan penemuan seekor ular sawa di dalam salah satu mesin basuh di premis itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Suhaimi Mohd Jamal berkata, pelanggan berkenaan kemudian melaporkan kejadian kepada pemilik premis yang kemudian menghubungi bomba.

Katanya, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan itu pada jam 9.41 pagi.

"Anggota operasi yang tiba di lokasi mendapati seekor ular sawa sepanjang 1.8 meter seberat 20 kilogram di dalam salah satu mesin basuh di pusat dobi layan diri itu.

"Reptilia itu berjaya ditangkap dan dilepaskan di kawasan jauh dari penempatan orang awam," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Kata Suhaimi, reptilia yang ditemui itu tidak agresif ketika cuba ditangkap namun menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri apabila berdepan ular.

Disiarkan pada: October 2, 2022 @ 2:10pm
d