mutakhir

RM1.3 juta saman tertunggak dijelaskan sepanjang 3 hari

Oleh Izz Laily Hussein

Iskandar Puteri: Lebih RM1.3 juta saman tertunggak dijelaskan sepanjang tiga hari Program Ramah Mesra Polis Johor Bersama Brothers Motor.

Nilai itu membabitkan 12,799 saman berbanding lebih 2.238 juta saman tertunggak yang dicatatkan sejak 2018 hingga Ogos lalu.

Daerah Muar mencatatkan kutipan tertinggi dengan nilai RM192,020 diikuti Batu Pahat dan Johor Bahru Selatan masing-masing dengan kutipan RM170,880 dan RM141,370.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, walaupun masih terdapat lebih RM2 juta saman tertunggak, pihaknya berpuas hati melihat kesungguhan orang ramai yang masih mempunyai kesedaran dan tanggungjawab untuk menjelaskan saman mereka.

"Saya bukan kata saya bangga dengan kutipan ini, bukanlah tujuan utama kita nak kira berapa saman dah jelaskan, berapa jumlah wang dapat dikumpul, tetapi ia lebih kepada untuk mendidik masyarakat mematuhi peraturan jalan raya.

"Ini bukti juga mereka bertanggungjawab terhadap kesalahan yang mereka lakukan dan tahu jika lakukan kesalahan, mesti ada hukumannya.

"Selain itu, kita ingin memberi kemudahan kepada masyarakat di negeri ini demi membantu kelangsungan hidup, kita beri potongan 50 peratus terhadap saman yang dikenakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Penutup Program Ramah Mesra Polis Johor Bersama Brothers Motor di Puteri Harbour di sini, hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd Haffiz Ahmad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad dan Penasihat Keselamatan Johor Corporation (JCorp), Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Kamarul Zaman berkata, terdapat 109,758 saman tertunggak membabitkan warga Singapura dan sebanyak 26 saman daripada jumlah itu membabitkan nilai RM5,300, sudah dijelaskan ketika tempoh pemotongan 50 peratus itu diberikan.

Menurut Kamarul Zaman, kesalahan lalu lintas yang utama direkodkan adalah memandu melebihi had laju, tidak memakai tali pinggan keledar, menghalang lalu lintas dan memotong barisan.

Mengulas lanjut mengenai program berkenaan, beliau berkata, program itu berjaya menarik kehadiran lebih 10,000 penunggang motosikal yang diberi gelaran Brothers Motor itu di seluruh negeri ini sepanjang tiga hari ia dianjurkan.

Seramai 30 pegawai dan anggota Polis Johor menyertai rombongan bermotosikal itu menjelajah ke seluruh negeri ini membabitkan jarak 734 kilometer.

Beliau berkata, tujuan program seumpama itu dilaksanakan bagi membolehkan Polis Johor bersahabat dengan Brothers Motor terutamanya dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan penunggang motosikal dan pengguna jalan raya di negeri ini.

Disiarkan pada: October 2, 2022 @ 5:18pm
d