mutakhir

Malaysia perlu ambil iktibar rusuhan perlawanan bola sepak [METROTV]

Oleh BERNAMA

Ipoh: Malaysia perlu mengambil iktibar tragedi berdarah rusuhan selepas perlawanan bola sepak di Indonesia pada Sabtu lepas.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kejadian rusuhan hingga mengakibatkan kehilangan nyawa di negara jiran itu amat mendukacitakan.

"Kita ucap takziah kepada kerajaan Indonesia dan seluruh rakyatnya dan mendoakan mereka yang terkorban.

"Malaysia akan mengambil iktibar daripada kejadian ini dan kita belajar bagaimana untuk mengelakkan perkara ini berlaku bukan sahaja di sini tetapi kita harap ia tidak berlaku di mana-mana," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Makan Malam dan Dana Pilihanraya PRU-15 Pas Perak di sini malam tadi.

Turut hadir, Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin dan Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad.

Ahmad Faizal berkata, pihaknya akan menghubungi rakan sejawat di Indonesia bagi memberikan bantuan yang boleh disediakan susulan insiden buruk itu.

Sebuah video yang dikongsi di media sosial menunjukkan peminat, berpakaian merah dan biru, menyerbu padang selepas Arema tewas 2-3 kepada Persebaya Surabaya dan bertembung dengan pasukan keselamatan.

Selepas penyokong pasukan tuan rumah yang kalah menyerbu padang, pegawai melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka, sekali gus mencetuskan rempuhan dan kes sesak nafas.

Berikutan insiden rusuhan itu, Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) mengambil keputusan menggantung saingan Liga Indonesia selama seminggu, selain dilapor telah mengharamkan Arema daripada menganjurkan perlawanan di laman sendiri sehingga penghujung musim.

Disiarkan pada: October 3, 2022 @ 8:59am
d