mutakhir

Pecat, gantung ahli Umno keputusan bersama - Ahmad Zahid

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

Kuala Lumpur: Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan memecat dan menggantung beberapa ahlinya dibuat secara kolektif dan musyawarah demi kepentingan parti semata-mata.

Beliau berkata, tiada mana-mana individu berkepentingan di sebalik keputusan itu, malah ia tindakan yang diputuskan bersama demi kemaslahatan Umno.

Katanya, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kemuafakatan, kebersamaan serta perpaduan Umno bergerak sehati sejiwa perlu diperkasakan.

"Sebarang anasir yang boleh memecah belah atau mengganggu-gugat ditangani sebaik mungkin dengan respons sewajarnya.

"Begitu juga terhadap anasir dalaman yang berusaha memburuk-burukkan institusi kepimpinan parti yang menjadi benteng kepada perjuangan Umno.

"Jika institusi ini dilemahkan dengan anasir dalaman yang merekayasa dakyah dan tohmahan, tentunya akan merosakkan keharmonian," katanya menerusi Facebook hari ini.

Ahmad Zahid berkata, bukan saja Umno, badan politik lain juga melakukan tindakan yang sama bagi memastikan institusi kepimpinannya dihormati.

"Seperti saya katakan kini bukan masa untuk menoleh. Umno sudah mengambil tindakan dan keputusan bersama demi kepentingan parti ini.

"Apa yang sudah berlaku suatu penegasan oleh parti bahawa Umno tidak pernah tentang individu. Umno adalah mengenai rakyat dan negara.

"Umno sebuah perjuangan agama, bangsa dan tanah air. Kesilapan lalu tidak boleh berulang. Gunting dalam lipatan perlu dikekang," katanya.

Beliau berkata, gerak kerja PRU-15 menjadi fokus utama sehingga tiba tarikh penting itu, Umno akan terus mara demi rakyat Malaysia.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada Jumaat memutuskan memecat keahlian Ketua Umno Cawangan Projek Perumahan Awam (PPA) Sri Labuan yang juga blogger, Datuk Zaharin Mohd Yasin daripada parti berkuat kuasa serta-merta, mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9.

Tindakan itu yang diumumkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Ahmad Maslan, diambil selepas ketua Umno cawangan itu didapati melanggar Etika Ahli di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan Umno.

Selain itu Ketua Umno Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman turut digantung keahlian parti selama enam tahun.

Disiarkan pada: October 3, 2022 @ 11:36am
d