mutakhir

Wanita menyamar kononnya dilantik Pengarah Kewangan KDN

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Polis menerima laporan daripada Setiausaha Bahagian Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mendakwa seorang wanita menyamar sebagai penjawat awam bertujuan untuk menipu menerusi hantaran video di laman Facebook.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pengadu mendakwa video tular itu memaparkan wanita dikenali sebagai Datuk Seri Siti Nur Atiqah Baba mengaku dilantik sebagai Pengarah Kewangan KDN.

"Hasil semakan mendapati, rakaman video berdurasi 1 minit 40 saat yang memaparkan seorang wanita (Datuk Seri Siti Nur Atiqah Baba) mendakwa dilantik sebagai Pengarah Bahagian Kewangan KDN.

"Rakaman video itu juga mengandungi tangkap layar laman web KDN yang diubahsuai," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pengadu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya sebagai penafian KDN melantik mana-mana individu secara langsung sebagai Pengarah Bahagian Kewangan KDN dan jawatan itu juga tidak pernah wujud.

Disiarkan pada: October 4, 2022 @ 11:04pm
d