mutakhir

Dua beranak dituduh pecah amanah, palsu dokumen [METROTV]

Oleh Ahmad Hasbi

Seremban: Dua beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas pertuduhan pecah amanah dan pemalsuan dokumen membabitkan dua bidang tanah bernilai lebih RM1 juta, tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Wong Yew Loong, 44, dan Lim Siew Kin, 69, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama sebagai ejen iaitu pengarah sebuah syarikat diamanahkan dengan penguasaan ke atas dua bidang tanah di Port Dickson telah melakukan pecah amanah dengan curangnya menyalahgunakan harta itu.

Kesalahan dilakukan di pada 8 Disember 2015 antara jam 11 pagi hingga 2 petang di satu alamat di Taman Rasah Jaya, di sini.

Oleh itu, kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Jika disabitkan, hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Kedua-dua tertuduh juga berdepan pertuduhan menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu resolusi pengarah syarikat sama bertarikh 8 Disember 2015 untuk dua harta iaitu dua bidang tanah berkenaan yang tertuduh ketahui adalah palsu.

Kesalahan dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Sembilan, Wisma Negeri, Jalan Dato Abdul Kadir, di sini, pada jam 10.16 dan jam 10.21 pagi, 14 Februari 2017.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 bagi semua pertuduhan terhadap Yew Loong, manakala jaminan sebanyak RM20,000 kepada Siew Kin dengan seorang penjamin.

Syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di balai berdekatan dua kali seminggu.

Kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Cassandra Peter.

Sebutan semula kes pada 14 November 2022.

Disiarkan pada: October 6, 2022 @ 11:55am
d