mutakhir

Pekerja p-hailing perlu carum SKSPS sebelum dapat lesen

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim

Kuala Lumpur: Mana-mana pekerja p-hailing yang ingin mendapatkan lesen vokasional perlu mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, syarat itu ditetapkan kerajaan dengan lesen tidak akan diluluskan jika tiada caruman SKSPS.

"Memang betul, selepas ini kita akan syaratkan kalau nak dapat lesen vokasional, dia (penunggang p-hailing) kena mencarum, bermaksud dia tak boleh lepas.

"Nak dapat ini (lesen), prasyaratnya ialah SKSPS mesti ada," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab celahan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Pejuang-Jerlun) yang bertanyakan sama ada langkah kerajaan mewajibkan pekerja p-hailing memiliki lesen vokasional akan memberi nilai tambah kepada golongan berkenaan.

Mengulas lanjut, Wee berkata, keputusan supaya pekerja p-hailing memiliki lesen terbabit semestinya memberi nilai tambah, antaranya memastikan semua penunggang kompeten daripada aspek pemanduan bagi menjaga keselamatan dan pemahaman peraturan jalan raya.

"Sebenarnya kita pun sudah mula mensyaratkan semua syarikat iaitu mengenakan caruman dengan Perkeso. Malah sebagai permulaan kerajaan bayar 80 peratus (caruman) manakala baki 20 peratus ditanggung oleh penunggang p-hailing.

"Sebab itu kita komited memastikan ada jaringan keselamatan sosial untuk melindungi mereka kerana apabila berlaku kemalangan, sekurang-kurangnya mereka dibantu. Inilah cara kita membantu," katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2022 serta dua lagi RUU lain berkaitan kawal selia komuniti p-hailing.

Dua RUU lain yang diluluskan itu adalah RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2022 dan RUU Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2022.

Tiga RUU yang dibentang itu adalah bagi memberi punca kuasa kepada Kementerian Pengangkutan mengawal selia komuniti p-hailing.

Menurut naskhah biru yang dikeluarkan Parlimen, kenderaan p-hailing, bermaksud suatu kenderaan motor yang digunakan untuk membawa barangan dalam mana-mana perjalanan sebagai balasan bagi caj setiap barangan itu yang mana perkiraan, penempahan atau transaksi dan caj perjalanan itu dipermudah melalui suatu aplikasi elektronik mudah alih disediakan suatu perniagaan pengantaraan.

Disiarkan pada: October 6, 2022 @ 7:27pm
d