mutakhir

YWM wujud Dana Wakaf Bencana bantu mangsa bencana alam

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) bersama Kenanga Investors Berhad dan MATCH Foundation bekerjasama mewujudkan Dana Wakaf Bencana -Kenanga Sustainability Series:Emergency Waqf Musa'adah Fund bagi membantu mangsa yang berdepan bencana alam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, dana ini adalah produk pelaburan dan sebahagian keuntungannya akan disumbangkan menjadi waqaf.

Menurutnya, dana pemula berjumlah RM3 juta yang disalurkan kerajaan akan dilaburkan manakala manfaat pelaburan ini akan disalurkan secara tahunan oleh Kenanga Investors Berhad selaku pengurus pelaburan dana ini.

"Sebanyak 70 peratus keuntungan akan diwakafkan oleh pelabur sebagai wakaf tunai yang diwujudkan YWM. Sebahagian dana terkumpul ini akan ditukarkan kepada aset kekal sama ada alih atau tidak bagi tujuan pencegahan bencana dan bantuan bencana.

"Sebahagian lagi akan dilaburkan dalam bentuk aset yang menjana pendapatan dan juga pelaburan dalam pasaran kewangan patuh syariah bagi menghasilkan dana manfaat yang kemudiannya akan diagihkan dalam bentuk bantuan bencana antaranya wang tunai, makanan dan peralatan keperluan harian.

"Bagi memastikan penggunaan dana selari dengan hukum syara' agihan akan dilaksanakan dengan kerjasama MAIN selaku Pemegang Amanah Tunggal Wakaf di negeri masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Dana Wakaf Bencana-Kenanga Sustainability Series: Emergency Waqf Musa'adah Fund di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat & Haji (JAWHAR) merangkap Naib Pengerusi YWM, Datuk Selamat Paigo, KetuaJabatan Institusi Korporat Kenanga Investors Berhad, Mariam VeronicaAbu Bakkar Seddek dan Ketua Pegawai Eksekutif Ambank Islamic Berhad, Eqhwan Mokhzanee

Sempena pelancaran dana wakaf ini turut diadakan Malam Apresiasi Wakaf YWM bagi meraikan para pemegang taruh YWM seperti para pewakaf, wakil Majlis Agama Islam Malaysia (MAIM) dan rakan strategik.

Disiarkan pada: October 6, 2022 @ 11:10pm
d