mutakhir

Peratusan keluar mengundi penentu keputusan PRU-15 - DAP

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Peratusan keluar mengundi dijangka akan menjadi penanda aras penting sekali gus penentu kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berkata, perkara itu dibuktikan dalam PRU-14 sebelum ini selain beberapa pilihan raya negeri (PRN) termasuk di Johor.

Katanya, pada PRU-14 lalu, jumlah peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 83 peratus membabitkan 12.4 juta daripada jumlah keseluruhan 14.9 juta pengundi berdaftar.

Ching Tong yang juga Timbalan Pengerusi PH Johor berkata, pertambahan jumlah pengundi selepas Undi18 dan daftar automatik diwartakan, menjadikan jumlah pengundi meningkat kepada lebih 21 juta orang iaitu tambahan hampir 40 peratus juga bakal mempengaruhi kemenangan mana-mana gabungan serta parti nanti.

"Kalau hanya 12 juta sahaja keluar mengundi atau kurang dari itu, peluang tinggi untuk Barisan Nasional (BN) menang kerana mereka bergantung kepada pengundi tegar mereka.

"Namun, BN mampu ditewaskan sekiranya peratusan keluar mengundi adalah sangat tinggi dengan Pakatan Harapan (PH) berpeluang cerah mengulangi kejayaan PRU-14 pada pilihan raya kali ini.

"Oleh itu, kita harap pengundi luar dan anak muda tidak melupakan tanggungjawab mereka keluar mengundi undi. Sekiranya jumlah keluar mengundi lebih 16 juta orang, maka BN mungkin dapat ditewaskan dan kemenangan untuk PH akan lebih cerah.

"Kesimpulannya, peratusan keluar mengundi akan menjadi barometer penting yang menentukan keputusan PRU-15 akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (Dun) Stulang, di sini, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, petang tadi bagi memberi laluan kepada PRU-15 diadakan.

Dalam pada itu, Chin Tong berkata, keputusan Perdana Menteri mengumumkan PRU-15 dalam tempoh Monsun Timur Laut ini dijangka memakan diri dan memberi persepsi tidak elok terhadap BN.

Katanya, ia boleh dilihat dari maklum balas rakyat negara ini di media sosial yang tidak bersetuju proses demokrasi itu diadakan ketika ini.

"Kemungkinan keputusan ini (mengadakan PRU-15 awal) akan membangkitkan kemarahan rakyat yang akhirnya akan merugikan BN.

"Pada PRU-14 yang lalu, apabila hari Rabu ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai hari mengundi dengan harapan tidak ramai keluar mengundi, mereka ternyata silap apabila langkah itu ternyata memakan diri dan mencetus kebangkitan rakyat.

"Jadi, untuk mengadakan PRU-15 pada ketika ini, ini kita tidak tahu apa respons rakyat tetapi melihat maklum balas kita dapati ramai tidak setuju Parlimen bubar sekarang dan ramai yang tak setuju mengenainya," katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2022 @ 7:59pm
d